Kesinambungan dari cerpen sebelumnya. Hampir setahun tertangguh. Sorry :P
Setelah pulang dari bershopping bersama ahli keluargaku, aku terus menaiki lif dan naik ke bilik hotel. H yang masih duduk di sofa di lobi hotel, tidak kutegur. Sebenarnya, di dalam hati, aku agak terkilan. Namun kubiarkan sahaja dan aku membuat keputusan untuk masuk tidur lebih awal pada malam itu, kerana pagi esok kami harus mengejar penerbangan pulang ke Malaysia. Yang pastinya, cuma satu perkataan yang berlegar di mindaku ketika itu, RUMAH!
Pada keesokan harinya, aku menjadi orang yang paling bersemangat. Aku bangun paling awal dan bersiap paling awal. Seperti ketika berada di Mekah, aku juga yang mengambil tugas membawa beg-beg ahli keluargaku yang lain turun ke lobi hotel. Aku berulang-alik dua tiga kali untuk membawa kesemua beg-beg kami. Ketika aku turun bersama beg yang terakhir, H sudah berada di lobi. Kehadirannya bagaikan suatu aura. Setiap kali dia dan aku berada di ruang yang sama, mataku pasti dapat menangkap kelibat dia. Aneh, tapi perasaan itu aku abaikan. Mungkin kerana fizikal H yang tinggi membuatkan kehadirannya disedari semua orang, anggapku. Ya, H memang sangat tinggi orangnya.
Setibanya kami di lapangan terbang Dhaka, rombongan kami segera menyelesaikan segala urusan check-in. Suasana sesak di lapangan terbang pada ketika itu sedikit pun tidak dapat mengurangkan keceriaan di wajah kami. Masing-masing seperti sudah tidak sabar untuk kembali ke tanah air. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan Allah s.w.t dan urusan rombongan selesai dengan cepat, tanpa sebarang masalah. Kami kemudian menunggu di Waiting Lounge, kerana Boarding Gate belum dibuka. Ustaz yang mengetuai rombongan berpesan kepada kami supaya tidak berpecah, kerana dikhuatiri ada yang hilang atau terlepas penerbangan. Almaklumlah, dengan keadaan yang sesak di situ dengan warga tempatan, macam-macam boleh terjadi. Mendengar pengumuman itu, aku mengambil keputusan untuk duduk di sebuah kerusi berdekatan, tidak jauh dari ahli keluargaku yang lain. Aku duduk seorang diri sambil membuang pandang ke arah kapal terbang. Aku melihat pesawat kami sudah disambungkan dengan waiting lounge, dan aku berdoa supaya penerbangan kami tepat pada masanya.
Aku silap. Lebih sejam sudah berlalu, dan kami masih di lounge, menunggu kalau-kalau pintu sudah dibuka. Suasana di lounge semakin riuh dengan warga tempatan. Aku semakin bosan. Di kala itu, aku terpandang H. Dia duduk tidak jauh dariku. Adakah dia sudah lama duduk di situ atau aku yang baru perasan kehadirannya? Belum sempat otakku berfikir lebih jauh, H bangun dan berjalan. Aku berharap bahawa aku sedang bermimpi, tapi memang sebenarnya dia sedang berjalan ke arahku!
Aku blur melihat dia berdiri di hadapanku. Sudahlah tinggi, aku pula sedang duduk di kerusi, menyebabkan aku terpaksa mendongak melihatnya. Tanpa mukadimah, dia terus menyoalku "Awak sekolah dekat #$&*% kan? Kenal tak mana-mana senior Form 6?" Ceh, ingatkan apa yang penting sangat dia nak tanya. "Kenal la jugak, tapi tak semua. Kenapa?" Aku menjawab. "Kenal tak ********** ?" Aku berfikir sesaat. "Macam pernah dengar nama tu, tapi kalau tengok rupa, boleh cam la kot," Jawabku yakin. H mengangguk. Kemudian, dia melihat keliling. Aku sudah memandang pelik. H mengeluarkan telefon bimbit dari kocek jubahnya. Dia memandangku. "Boleh tak nak mintak nombor telefon?" tanyanya. Aku terdiam, tidak menjangka yang dia akan meminta nombor telefonku. Sambil itu, otakku ligat memikir, untuk apa ya dia meminta nomborku?
"Err, kalau tak boleh, tak apalah," katanya sebelum sempat aku memberi respon.
"Emm, bolehlah," putusku spontan, dan aku terus menyebut nomborku satu persatu.
"Thanks," dan dia terus pergi.
Setelah dia melangkah, aku masih memikir apakah keperluan dia untuk menyimpan nombor telefonku? Adakah dia mahu kami terus berhubung setelah masing-masing pulang ke Malaysia nanti? Aku juga semakin resah. Sudah berjuta kali rasanya aku menilik jam dinding yang tergantung di Boarding Gate. Serasanya sudah lebih dua jam kami menunggu, tapi masih belum dipanggil untuk menaiki pesawat. Masalah pesawat lagi ke?
Tidak lama kemudian, kami mendengar sorakan bergema di suatu sudut. Aku berpaling untuk melihat apa yang terjadi. Terpapar di skrin besar, keputusan perlawanan kriket di antara Bangladesh dengan Australia. Oh, Bangladesh menang? Itu saja yang bermain di mindaku. Ketika pandanganku masih tertancap pada kelompok orang tempatan yang bersorak, aku melihat dua orang yang memakai uniform seperti juruterbang bangun dan melangkah ke arah Boarding Gate. Aku terlopong. Tidak, sebenarnya bukan aku seorang, tapi aku yakin pasti semua ahli rombongan kami terlopong! Penerbangan ditunda cuma kerana perlawanan kriket? Arghhhh!!!
No comments:
Post a Comment