Aku sangat pasti bukan aku seorang sahaja yang bengang dengan kelewatan penerbangan kami selama hampir dua jam, semata-mata kerana perlawanan kriket. Sungguh, aku berasa seperti 'hari ini dalam sejarah'. Tak pernah aku terfikir yang dalam dunia ni, boleh pulak ada flight delay semata-mata kerana KRIKET! Tension sungguh.
3 jam penerbangan, kami selamat mendarat di KLIA. Betapa hatiku bersorak sebaik pesawat selamat mendarat. Walaupun smooth landing yang kuharapkan tidak menjadi kenyataan, tapi itu tidak penting. Yang pastinya, aku rindukan Malaysia. Baru dua minggu tidak menjejak Tanah Melayu, aku sudah rindukan aroma nasi lemak dan terbayang-bayang roti canai yang panas berasap. Benarlah, walaupun hujan emas di negeri orang, lebih baik di negeri sendiri!
Sebaik selesai urusan kastam dan mengambil beg, kami disambut oleh ayahku dan beberapa orang adik-beradik emak. Faham dengan keletihan yang kami alami sepanjang penerbangan, kami berpecah di tempat letak kereta di KLIA. Masing-masing menuju ke destinasi masing-masing. Datuk dan nenek saudaraku telah dijemput oleh anak-anak mereka, yakni sepupu-sepupu ibuku. "Seronok pergi buat umrah?" tanya salah seorang dari mereka, aku cuma tersenyum dan mengangguk.
Ayah dan abangku serta keluarganya mencadangkan kami singgah di kawasan rehat Dengkil untuk makan. Waktu pada ketika itu sudah lewat tengahari. Jadi, kami mengambil keputusan untuk makan makanan yang tidak terlalu berat dan keputusannya - Sate. Alhamdulillah.
Sementara kami menunggu pesanan sate sampai, kami berbual-bual kosong. Dan aku sedikit tergamam, apabila aku ternampak abang ipar H yang juga turut serta dalam rombongan kami, melewati tempat kami sekeluarga duduk. Ayahku menegurnya, dan dia membalas ramah. Spontan, mataku melihat ke arah dari mana abang ipar H datang tadi. Kalau abang ipar H ada di sini, bermakna sudah tentu H juga ada. Mereka kan datang sekeluarga!
Aku akhirnya ternampak H yang melewati jalan lain menuju ke keretanya. Aku mencebik, terasa sedikit hampa kerana H tidak melewati tempat dudukku. Semenjak dia mendapat nombor telefonku di lapangan terbang Dhaka, kami masih belum sempat saling menegur. Namun, aku cuba untuk tidak menampakkan kehampaanku, sebaliknya sedaya-upaya aku mencuba untuk act cool di depan ahli keluargaku yang lain, terutama sekali adikku, kerana dia amat mengenali H. Oleh itu, aku hanya berpura-pura seperti tidak kisah dan terus menikmati sate yang terhidang di depan mata.
Sebaik sampai di rumah, aku terus berbaring di sofa. It feels so good to be home! Jeritku dalam hati. Nikmatnya sofa, fikirku. Aku termenung menghadap siling. Belum sempat aku berangan jauh, telefon bimbitku berbunyi, menandakan ada mesej yang masuk. Emak sudah memandangku pelik. Pelik kerana belum sampai sehari aku menjejakkan kaki ke Malaysia, telefon bimbit sudah berbunyi. Siapa pulak yang menghubungiku, tanyanya. Aku cuma menjawab bahawa kawan sekolahku yang mesej. Pada hakikatnya, aku terkejut dan terkaku membaca mesej yang baru sahaja masuk ke dalam inboxku tadi.
"Salam, this is my number....- H. Hope we can be friends, can we? Kirim salam kat family! Assalamualaikum."
Aku tak terkata apa!



















